Hipz! = Hazriq Idrus Productionz

Monday, September 25, 2006

Episod Lima

Untuk pertama kali, persembahan teater Melayu bermula tepat pada masanya, iaitu pukul 8 malam. Jika tidak, persembahan yang dijadualkan bermula jam lapan malam akan bermula lebih kurang 8.15malam. Paling teruk, setengah jam lambat. Kata orang janji melayu.

Ini semua gara-gara kedatangan penonton yang lambat. Sepatutnya para penonton yang lambat tidak dibenarkan masuk sehingga waktu rehat atau Intermission, tetapi orang-orang melayu ni agak lembut hati. Selalu berfikiran tidak apa. Tidak apa kalau lambat sikit, jadi penonton dapat menonton penuh. Assidiq berbual di dalam hatinya sendiri.

Kedengaran “Voice–Over” di dalam Panggung Victoria ini.

“Selamat datang kami ucapkan kepada para hadirin sekelian ke Panggung Victoria. Sebelum persembahan dimulakan, diharap agar para penonton dapat mematikan telefon bimbit atau alat kelui atau tukarkannya ke moda gegaran supaya tidak menggangu kelancaran pementasan. Dilarang juga mengambil gambar sewaktu pementasan sedang berlangsung.

“Para hadirin sekelian, Teater 2000, dengan bangganya mempersembahkan, Villa ... Singa..!!”

Panggung digelapkan. Bunyi lagu didendangkankan tandanya persembahan sedang bermula. Tirai dibuka dengan perlahan. Kelihatan para pelakon sedang membuat pergerakan montaj di pentas.

Tiba-tiba kedengaran bunyi telefon bimbit! Membingitkan.

“Hello! Ahh, cik dahda kat dalam ni!” Suara lantang. Assidiq memusing ke arah suara itu. Seorang makcik sedang berbual di telefon bimbit. Kuat suaranya.

“Kenapa korang lambat? Tempat dah gelap ni”

“Ssyyhh!!” Terdengar beberapa penonton cuba memberitahu penonton seorang itu untuk berdiam diri. Makcik itu tidak menghiraukan mereka.

“Bila kau masuk nanti, jalan terus, sampai ke tengah, kemudian ikut lorong kecil tu. Cik duduk dekat ..errr....kerusi yang ke sepuluh dari belakang.” Mak cik itu cuba mengira bilangan kerusi dalam suasana yang gelap.

Assidiq mulai geram. Kuat suara makcik itu dan mengganggu persembahan. Tidak beretika langsung. Ingin sahaja dia bergerak ke arah makcik itu untuk mendiamkannya, tetapi dia duduk agak jauh darinya. Assidiq juga hairan tiada petugas panggung yang datang memberi amaran kepada makcik itu.

Sekejap kemudian, datang tiga-empat orang berjalan ke arah makcik itu dan duduk. Moga-moga mereka tidak lagi membuat bising!

Assidiq kemudian mengalihkan konsentrasinya ke arah pementasan Villa Singa. Naskah karya Nadiputra ini, seorang penggiat teateryang prolifik, pernah dipentaskan 30 tahun lalu di Panggung Negara tetapi kini dipentaskan semula untuk meraikan Jubli Perak bagi kumpulan teater setempat, Teater 2000, yang berpangkalan di Kelab Masyarakat Tampines West. Kini tenaga pementasannya adalah gembelingan tenaga baru dan lama.

Villa Singa dikaitkan dengan rumah yang didiami Encik Hamzah (lakonan Raffi Khan) dan keluarga. Digelar Villa Singa kerana kegarangan Encik Hamzah terhadap anak-anaknya kerana cara dia mendidik mereka adalah dengan menggunakan dispilin - persis di dalam kem askar. Sememangnya Encik Hamzah merupakan seorang askar pesara.

Akibatnya, anak-anak mereka, Yunos (lakonan Faizal Ramli), Maimon (Yati Ansari), Aisyah (Lyn Hazlina) dan Khalsom (Juliyanti Jalil) tidak dapat menerima cara dispilin yang diharapkan Encik Hamzah. Datang pula Cik Marlia (Norsiah Ramly), bekas kekasih Encik Hamzah, menagih cinta lama mereka. Justeru itu, konflik di dalam rumah begitu tegang.

Namun, Nadiputra bijak menggunakan dua buah watak yang dapat meringankan ketegangan keadaan. Watak Makcik Leha (Jamilah A Bakar) dan Cikgu Hamid (Hazriq Idrus) sering mendapat tepukan gemuruh apabila setiap kali mereka tampil ke pentas dengan lakonan dan gaya mereka yang bersahaja.

Namun, di akhir pementasan, di saat Encik Hamzah menyatakan hasratnya untuk memperisterikan Cik Marlia, dia terus rebah. Pementasan berakhir dengan tanda tanya.

Tepukan yang gemuruh diberikan kepada para pelakon sebaik sahaja mereka membuat “curtain call”.

Bila lampu panggung dinyalakan semula, pandangan Assidiq tertumpu kepada seorang gadis: Manis raut wajahnya, putih kulitnya, keperangan warna bebola matanya (warna asli!), mancung hidungnya. Berkerudung.

Assidiq tergamam. Dia kelu tidak terkata kerana itulah gadis yang bertugas di Perpustakaan Negara. Dalam keadaan itu, Assidiq hanya dapat menyaksikan gadis itu melangkah keluar dari Panggung Victoria.


Monday, September 18, 2006

Book Review: Kau Untukku

Reviu Buku:
Kau Untukku oleh Aisya Sofea (nama sebenar - Hanizura Jamaludin)
Ulasan Md Hazriq Idrus

Novel "Kau Untukku" karya Aisya Sofea mengisahkan seorang gadis desa, Nurul Umairah yang melalui liku-liku kehidupannya setelah kematian tunangnya, Jeffri. Ini merupakan kali kedua Nurul Umairah menghadapi saat sebegini. Sebelum Jeffri, kekasihnya Danial juga pergi menyahut panggilan Illahi kerana sakit.

Setelah kematian Jeffri, Nurul Umairah tidak ingin berkasih lagi. Namun, jodoh dan pertemuan di tangan Yang Maha Esa. Dia dipertemukan dengan pengurusnya, Encik Fuad - seorang jejaka yang tampan dan segak. Bagi Nurul Umairah, Fuad bukan sahaja memiliki gabungan ciri-ciri seperti Jeffri dan Danial malah ada keunikannya yang tersendiri. Bagi Fuad pula, kehadiran Nurul Umairah memutikkan semula semangatnya untuk bercinta setelah lebih lima tahun pintu hatinya tertutup akibat ditinggalkan kekasih.

Cinta Fuad pada Nurul Umairah amat tulus dan ketika Nurul Umairah sedang cuba menyayangi lelaki tersebut, Fuad didatangi Ellina, bekas kekasihnya. Nurul Umairah semakin tertekan apabila ibu Fuad, Puan Rahmah, menempahkan tiket untuk Ellina agar Ellina dapat bersama keluarganya makan angin ke luar negera. Tujuannya jelas - untuk Fuad berbaik-baik semula dengan Ellina. Apakah Fuad akan kembali kepada bekas kekasihnya? Apakah Nurul Umairah akan kehilangan insan yang disayanginya lagi?

Penulis bijak menyentuh perasaan pembaca dengan penulisan yang sederhana tetapi juga bermakna. Lenggok penulisan dari sudut mata Nurul Umairah sedikit sebanyak menunjukkan Nurul Umairah selaku watak utama dalam novel ini. Penulis juga bijak menggunakan kaedah "flashback" yang tidak keterlaluan. Umpamanya, di dalam satu adegan di awal buku, penulis hanya menyentuh bahawa Jeffri meninggal tetapi hanya setelah ke peringkat 3 suku novel, baru penulis menceritakan bagaimana Jeffri meninggal dan juga saat-saat akhir pemergiannya itu.

Penulis juga bijak mengadakan babak saspens di mana watak-watak seperti Ellina, Puan Rahmah dan kakak-kakak Fuad yang seringkali berjaya membuatkan pembaca menyampah dengan watak-watak mereka.

Sepanjang novel juga, Nurul Umairah asyik mengesyaki bahawa Fuad sering bertemu dengan Ellina dan tanpa membuat pemeriksaan terus mengambil tindakan yang terburu-buru. Mungkin, ini adalah sifat wanita secara semula jadi yang ingin ditonjolkan oleh penulis bahawa sifat terburu-buru tidak mengundang kebaikan.


hazriq, 18/9/06