Hipz! = Hazriq Idrus Productionz

Monday, September 18, 2006

Book Review: Kau Untukku

Reviu Buku:
Kau Untukku oleh Aisya Sofea (nama sebenar - Hanizura Jamaludin)
Ulasan Md Hazriq Idrus

Novel "Kau Untukku" karya Aisya Sofea mengisahkan seorang gadis desa, Nurul Umairah yang melalui liku-liku kehidupannya setelah kematian tunangnya, Jeffri. Ini merupakan kali kedua Nurul Umairah menghadapi saat sebegini. Sebelum Jeffri, kekasihnya Danial juga pergi menyahut panggilan Illahi kerana sakit.

Setelah kematian Jeffri, Nurul Umairah tidak ingin berkasih lagi. Namun, jodoh dan pertemuan di tangan Yang Maha Esa. Dia dipertemukan dengan pengurusnya, Encik Fuad - seorang jejaka yang tampan dan segak. Bagi Nurul Umairah, Fuad bukan sahaja memiliki gabungan ciri-ciri seperti Jeffri dan Danial malah ada keunikannya yang tersendiri. Bagi Fuad pula, kehadiran Nurul Umairah memutikkan semula semangatnya untuk bercinta setelah lebih lima tahun pintu hatinya tertutup akibat ditinggalkan kekasih.

Cinta Fuad pada Nurul Umairah amat tulus dan ketika Nurul Umairah sedang cuba menyayangi lelaki tersebut, Fuad didatangi Ellina, bekas kekasihnya. Nurul Umairah semakin tertekan apabila ibu Fuad, Puan Rahmah, menempahkan tiket untuk Ellina agar Ellina dapat bersama keluarganya makan angin ke luar negera. Tujuannya jelas - untuk Fuad berbaik-baik semula dengan Ellina. Apakah Fuad akan kembali kepada bekas kekasihnya? Apakah Nurul Umairah akan kehilangan insan yang disayanginya lagi?

Penulis bijak menyentuh perasaan pembaca dengan penulisan yang sederhana tetapi juga bermakna. Lenggok penulisan dari sudut mata Nurul Umairah sedikit sebanyak menunjukkan Nurul Umairah selaku watak utama dalam novel ini. Penulis juga bijak menggunakan kaedah "flashback" yang tidak keterlaluan. Umpamanya, di dalam satu adegan di awal buku, penulis hanya menyentuh bahawa Jeffri meninggal tetapi hanya setelah ke peringkat 3 suku novel, baru penulis menceritakan bagaimana Jeffri meninggal dan juga saat-saat akhir pemergiannya itu.

Penulis juga bijak mengadakan babak saspens di mana watak-watak seperti Ellina, Puan Rahmah dan kakak-kakak Fuad yang seringkali berjaya membuatkan pembaca menyampah dengan watak-watak mereka.

Sepanjang novel juga, Nurul Umairah asyik mengesyaki bahawa Fuad sering bertemu dengan Ellina dan tanpa membuat pemeriksaan terus mengambil tindakan yang terburu-buru. Mungkin, ini adalah sifat wanita secara semula jadi yang ingin ditonjolkan oleh penulis bahawa sifat terburu-buru tidak mengundang kebaikan.


hazriq, 18/9/06



0 Comments:

Post a Comment

<< Home